Penggunaan e-wallet sudah menjadi satu kegilaan dalam kalangan masyarakat di negara ini. Sebut sahaja Touch n Go semua kenal. Tayangkan sahaja aplikasi Grab semua tahu. Ini belum lagi Boost, FavePay, KiplePay, RazerPay dan sebagainya. Malah, dalam satu laporan beritanya Astroawani (23 Jun 2020) telah memetik satu laporan MasterCard yang telah mengesahkan bahawa Malaysia merupakan negara yang menduduki tangga teratas dalam penggunaan e-wallet berbanding negara-negara lain di Asia Tenggara.
E-wallet berfungsi sebagai dompet fizikal pengguna yang berupaya untuk menyimpan wang, kad debit, kad kredit dan juga maklumat akaun bank dan peribadi dalam satu aplikasi. Secara lebih mudah, e-wallet bertujuan untuk menggantikan dompet fizikal supaya pengguna tidak perlu membawa dompet atau beg tangan ke mana-mana pula.
Namun, dalam keghairahan kita untuk menggunakan e-wallet ini perlulah kita sedar bahawa penggunaan wang eletronik ini turut mempunyai pelbagai impak buruk yang kita tidak sedari. Adakah kita sebagai pengguna tidak pernah terfikir sejenak untuk merenung masalah yang bakal timbul ekoran penggunaan e-wallet ini? Atau sudah menjadi sikap masyarakat kita yang akan hanya bertindak selepas sesuatu masalah berlaku di depan mata.
Salah satu kekurangan penggunaan e-wallet ini ialah tidak semua tempat atau peruncit menggunakan e-wallet. Perkara ini berlaku kerana peruncit tidak memahami konsep penggunaan e-wallet terutama aspek pembayarannya. Banyak peruncit masih tidak percaya bayaran boleh diterima daripada pengguna menggunakan telefon pintar lalu masuk ke dalam akaun mereka. Situasi ini menyebabkan aspek penggunaan e-wallet terjejas terutama di kawasan luar bandar.
Malah, bukan semua pengguna di Malaysia sudah biasa dengan penggunaan e-wallet ini. Kita perlu melihat kategori masyarakat di kawasan pedalaman terutama golongan tua yang belum terdedah dengan teknologi ini. Tahap pengetahuan mereka terhadap teknologi perlu diberi perhatian serius oleh pihak berkuasa sebelum e-wallet dijadikan satu medan utama aktiviti pembayaran. Masih ingatkah kita semua tentang usaha pihak berkuasa untuk meluaskan rangkaian internet yang masih lagi belum tercapai itu?
Selain itu, tanpa kita sedari penggunaan e-wallet ini telah menyebabkan lebih banyak perbelanjaan dilakukan. Konsep membayar sesuatu produk atau perkhidmatan menerusi elektronik tanpa melibatkan penggunaan wang fizikal akan memerangkap diri pengguna itu. Kita tidak akan menyedari bahawa wang perbelanjaan e-wallet lebih banyak berbanding ketika menggunakan wang tunai kerana kita hanya perlu “scan” dan membayar sahaja. Akhir bulan barulah pengguna menyedari betapa banyaknya pembaziran berlaku.
Namun, secara peribadi, penulis melihat kekurangan ketiga ini sebagai satu aspek yang paling penting sebelum seseorang itu memberanikan diri menggunakan e-walletnya iaitu risiko pendedahan maklumat peribadi. Kita harus sedar dan akui bahawa teknologi ini masih di peringkat awal lalu risiko berlakunya pendedahan maklumat penting pengguna tetap wujud. Aktiviti penipuan dalam talian dan menggodam maklumat pengguna pasti akan menjadi kelaziman apabila e-wallet mula digunakan secara meluas. Bayangkan aktiviti scammer yang menggunakan kaedah panggilan telefon dan menghantar mesej akan menjadikan e-wallet sebagai sasaran mereka pula.
Aspek kekurangan terakhir e-wallet ini ialah e-wallet bergantung sepenuhnya kepada teknologi telefon pintar dan aplikasi serta rangkaian internet yang stabil. Sebarang masalah kepada telefon dan internet akan menjejaskan aspek pembayaran. Begitu juga dengan masalah apabila sesuatu kawasan itu dilanda masalah bekalan elektrik yang pastinya akan menjejaskan rangkaian sistem pembayaran peruncit dan pengguna itu.
Ada juga beberapa pihak yang menyuarakan rasa ingin tahu mereka jika syarikat yang mengendalikan perkhidmatan e-wallet ini tidak lagi meneruskan khidmat e-wallet mereka. Bagaimanakah dengan kandungan wang yang masih ada dalam e-wallet itu? Bagaimanakah cara atau transaksi wang lebihan itu boleh diterima oleh pengguna? Mungkin persoalan ini nampak melucukan tetapi sebagai pengguna mereka berhak untuk mengetahuinya.
Mungkin dalam keghairahan kita menggunakan e-wallet, kita perlu memeriksa dan membuat pemantauan yang lebih ketika menggunakannya sebelum musibah lain pula berlaku.