Dalam kehidupan zaman moden ini, pelbagai pihak melihat keperluan memiliki perniagaan itu sebagai menarik kerana sering digembar-gemburkan sebagai membawa keuntungan yang mudah. Namun, dalam usaha untuk mencari keuntungan banyak pihak tidak sedar bahawa mereka telah melakukan kesalahan-kesalahan besar dalam urusan perniagaan itu.
Banyak pihak hanya memahami bahawa Islam menggalakkan umatnya menjalankan perniagaan tetapi ramai yang enggan memahami perkara-perkara yang diharamkan ketika menjalankan perniagaan itu atau mereka mungkin berpura-pura enggan memahaminya.
Walaupun agama Islam melihat perniagaan sesbagai satu aktiviti yang mulia tetapi ada bebera perkara dalam perniagaan yang perlu dijauhi oleh mana-mana ahli perniagaan yang mahu memastikan perniagaan mereka berkonsepkan ajaran agama yang sebenar. Antara perkara yang dilarang dalam aktiviti perniagaan ialah:
Amalan yang paling dikutuk dalam agama Islam ialah amalan riba.Amalan ini diharamkan kerana riba ini seolah-olah memberikan masalah tambahan atas hutang akibat penangguhan tertentu itu. Amalan perniagaan yang bebas riba bermaksud peniaga itu bebas daripada sebarang bentuk riba dalam mendapatkan model perniagaan, membuat simpanan hasil perniagaan dan pelaburan perniagaan serta seumpananya. Ringkasnya, riba diharamkan bukan sahaja kerana amalan ini seolah-olah merujuk keuntungan atas angin tetapi turut membawa masalah tambahan yang menyusahkan masyarakat pada masa depan.
Amalan kedua yang diharamkan oleh agama Islam ketika menjalankan Perniagaan ialah penggunaan taktik menipu bagi melariskan jualan. Dalam aktiviti ekonomi zaman moden konsep pemasaran dan promosi sesuatu yang lumrah tetapi hendaklah dijalankan dengan penuh tanggungjawab dan kebenaran. Pada masa yang sama, amalan menjual barang tiruan dengan harga yang mahal dan memalsukan resit pembayaran serta sebagainya merupakan antara kaedah menipu yang dilarang sama sekali dalam perniagaan yang berlandaskan agama Islam itu. Begitu juga konsep bersumpah dengan menggunakan agama untuk melariskan hasil jualan dilihat sebagai bertentangan dengan perniagaan dalam Islam yang hakiki.
Penulis yakin larangan seterusnya iaitu rasuah merupakan satu amalan yang semakin menjadi-jadi dalam kehidupan ahli perniagaan di Malaysia. Rasuah dikategorikan sebagai kesalahan besar kerana konsep rasuah itu bukan sahaja membawa ketidakadilan kepada masyarakat tetapi amalan rasuah ini turut menghakis konsep keberkatan dalam perniagaan. Amalan rasuah berleluasa kerana banyak ahli perniagaan beragama Islam yang berselindung daripada kesalahan ini dengan mengatakan bahawa pemberian dan penerimaan rasuah itu seperti pertolongan atau bantuan atau hadiah atau sedekah. Sebagai insan yang beragama Islam kita semua patut sedar bahawa rasuah itu merupakan satu pemberian yang dibuat dengan tujuan untuk mendapatkan sesuatu dengan cara yang salah. Konsep rasuah jauh berbeza dengan konsep sedekah yang menekankan pemberian yang bertujuan untuk mendapatkan balasan pahala Tuhan manakala konsep hadiah pula diamalkan atas tujuan merapatkan hubungan sesama manusia. Agak cetek akal ahli perniagaan yang begitu mudah menyamakan rasuah seperti sedekah dan hadiah itu.
Kemungkinan amalan ketiga merupakan satu bentuk kesalahan yang ketara dalam urusan perniagaan iaitu mengurangkan kadar sukatan dan timbangan. Ada banyak ahli perniagaan yang cuba menipu pelanggan dengan mengurangkan kadar berat timbangan sesuatu barang itu. Mangsa-mangsa mereka biasanya warga tua dan golongan rakyat biasa yang terlalu percaya akan sesuatu urusan perniagaan itu tanpa banyak berfikir. Penipuan perniagaan zaman moden dalam kategori ini turut melibatkan jumlah bilangan produk yang dijual dan kualitinya. Agama Islam mewajibkan ahli perniagaan supaya memastikan sukatan produk dan bilangan produk yang dijual betul mengikut harga yang telah dipersetujui sebelum ini.
Perniagaan berasaskan barang curian, dirampas secara tidak benar atau barang ragut. Konsep lareangan ini berasaskan konsep perniagaan yang berusaha untuk membawa kebaikan dan membantu. Jika ahli perniagaan melibatkan diri dalam perniagaan berasaskan produk yang diharamkan ini sudah pasti perniagaan mereka itu akan membawa kepada merebaknya rasa permusuhan dan dosa yang pastinya tidak diterima dalam ajaran agama Islam.
Haram menjual najis. Konsep najis dalam perbincangan ini ialah barangan yang tidak mempunyai khasiat terutamanya yang ada unsur minuman keras, bangkai, babi, dan anjing. Ahli perniagaan beragama Islam telah dilarang untuk terlibat dalam urusan perniagaan yang mempunyai unsur-unsur najis ini kerana penjualannya boleh membawa timbulnya masalah lain terutamanya minuman keras yang boleh membawa merebaknya kejadian kemalangan jalan raya dan keganasan rumah tangga akibat mabuk itu.
Kesimpulannya
Persoalan yang perlu dijawab oleh ahli perniagaan beragama Islam sekarang ialah adakah mereka mematuhi semua amalan yang dihuraikan di atas atau mereka sendiri terlibat dalam perniagaan yang diharamkan itu? Sebagai ahli perniagaan pastinya aspek keuntungan perlu diberikan penekanan tetapi jika larangan agama diabaikan pastinya ahli perniagaan itu sudah tersasar jauh daripada ajaran agamanya. Mungkin sudah sampai masanya semua ahli perniagaan merenung sejenak perniagaan mereka itu lalu berusaha untuk mengubahnya menjadi lebih sempurna.