Tanggapan bahawa pandemik Covid-19 ini berasal daripada sebuah makmal di China bukanlah sesuatu yang baharu. Namun, apabila penasihat utama pandemik Covid-19 kepada Presiden Joe Biden menyatakan pendapatnya bahawa dia tidak begitu yakin lalu percaya perlu ada lebih banyak penelitian dilakukan untuk membuktikan bahawa pandemik ini tidak berasal daripada makmal di China itu, kenyataan ini mula mendapat tumpuan media massa seluruh dunia.
Dr. Anthony Fauci melihat bahawa kemungkinan untuk pandemik ini bermula dari makmal di China itu boleh berlaku lalu mencadangkan lebih banyak siasatan dan kajian dilakukan untuk menentukan kesahihan teori itu. Kenyataan Dr. Fauci ini telah diikuti dengan beberapa laporan dalam CNN yang mengaitkan kejadian penyelidik-penyelidik di Institut Kajian Virologi di Wuhan itu jatuh sakit pada November 2019. Walaupun, sebelum ini Fauci telah menolak kaitan antara makmal di China dengan kewujudan virus pandemik ini.
Kenyataan ini telah dilihat oleh kerajaan China sebagai usaha berterusan pihak Amerika Syarikat untuk mensensasikan teori mengenai kemunculan virus pandemik ini daripada makmal China. Mereka melihat dakwaan sebegini sebagai satu usaha untuk mengalihkan masyarakat dunia daripada masalah sebenar pandemik daripada berusaha untuk mencari kesahihan asal-usul virus itu. Malah, China terus menolak dakwaan ini dengan mengesahkan bahawa tidak ada rekod yang menunjukkan staf makmal itu mengalami jangkitan virus ini sebelum 30 Disember 2019.
Setakat ini, ketetapan daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia atau WHO terhadap isu ini ialah tidak ada bukti yang sahih untuk mengaitkan pandemik ini dengan kajian makmal di Wuhan itu walaupun itu merupakan sebahagian daripada beberapa teori punca penyakit ini yang diketengahkan oleh pakar-pakar penyakit dunia.
Selain daripada Amerika Syarikat, Australia merupakan negara yang paling lantang menyuarakan pendapat mereka supaya satu badan bebas khas ditubuhkan untuk menyiasat asal-usul kewujudan virus covid-19 ini. Kita semua masih lagi ingat kenyataan keras dan berterus-terang Perdana Menteri negara itu pada tahun lepas, Scott Morrison yang begitu beria-ia mahu kajian lanjut dilakukan dalam penyiasatan ini. Beliau mahu satu kajian yang menyeluruh dilakukan terhadap makmal di Wuhan itu kerana berpendapat pandemik ini bermula daripada makmal tersebut.
Kelantangan Australia itu telah menyebabkan hubungan diplomatik antara Canberra dan Beijing mengalami ketegangan dan pelbagai tindak balas terutama dalam bentuk ekonomi telah diambil oleh kedua-dua buah negara dalam menyelesaikan pertelingkahan lidah itu.
Mungkinkah perkara ini menjadi umpan Amerika Syarikat untuk terus menekan China yang dalam proses untuk mencabar kedudukan mereka sebagai kuasa utama dunia itu. Ringkasnya, isu ini tidak akan hilang begitu sahaja dalam masa terdekat ini.