Kami merujuk kepada kenyataan Yang Berhormat Menteri Kewangan baru-baru ini yang seolah berlepas tangan terhadap kawalan ke atas bank-bank dalam ekonomi Malaysia yang terjejas akibat Covid. Pada pendapat kami, ianya merupakan satu kenyataan yang malang yang bersandarkan pemahaman ekonomi yang sedikit tertinggal. Kerajaan sememangnya mempunyai kawalan ke atas bank dan paling utama ke atas wang negara; dan yang paling penting, Kerajaan mempunyai kewajiban yang lebih tinggi untuk menyantun rakyat yang dikasihi, lebih dari perkara lain dan tentunya, lebih dari orang atau institusi institusi lain.

Dalam ekonomi yang berfungsi secara normal, pekerja bekerja untuk mendapatkan gaji atau pendapatan. Dengan wang ini mereka berbelanja untuk mendapatkan barang dan perkhidmatan untuk terus hidup. Dengan melakukan kerja, mereka juga menghasilkan barangan dan perkhidmatan. Dengan itu, mereka menghasilkan barangan dan perkhidmatan untuk mendapatkan wang bagi membolehkan mereka membeli barang dan perkhidmatan.

Dalam ekonomi yang terjejas akibat Covid, pekerja mungkin kehilangan pekerjaan dan penjaja serta peniaga kecil tidak dapat menjual makanan dan barangan mereka menyebabkan mereka tidak mempunyai wang untuk membeli barangan dan perkhidmatan. Apabila mereka tidak bekerja atau tidak dapat berniaga, jumlah barang dan perkhidmatan dalam ekonomi menurun. Mereka boleh menggunakan simpanan mereka tetapi disebabkan mereka tidak mempunyai banyak wang simpanan, wang simpanan ini juga akan habis dengan cepat.

Ekonomi kini sedang merudum/dalam kemacetan; barangan dan perkhidmatan jatuh dengan nisbah yang selari dengan pengangguran pekerja dan rakyat, manakala barangan dan perkhidmatan yang telah dihasilkan tidak dapat dijual kerana pembeli tidak mempunyai wang.

Dalam keadaan seperti ini, dijangka jumlah barangan dan perkhidmatan dalam negara ini akan menurun dan oleh itu, suntikan wang oleh kerajaan untuk membantu pengangguran tidak akan menyebabkan inflasi. Ini adalah bantuan yang diperlukan untuk membantu penganggur dan juga untuk membantu penjual menjual barangan mereka. Dari manakah dana ini akan diperolehi? Kerajaan telah membelanjakan semua yang dapat ia belanjakan; termasuk menggunakan simpanan KWSP rakyat dan Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN).

Kaedah yang paling jelas mungkin meminjam dari bank-bank. Tapi kenapa?! Bank- bank akan mencipta wang baru untuk diberi pinjam kepada kerajaan; bank-bank tidak memberi pinjaman dari wang yang ada, itu adalah satu mitos. Tanya Bank of England atau Bundesbank Eropah. Sekiranya Kerajaan meminjam dari bank, wang baru akan dicipta oleh bank.

Kerajaan seharusnya mencipta wang baru ini dan memberikannya kepada diri sendiri untuk dibelanjakan kepada rakyat dalam ekonomi yang terjejas oleh Covid. Inflasi?! Kalau begitu bukankah wang yang dicipta oleh bank untuk memberi pinjaman kepada Kerajaan juga akan menghasilkan inflasi?!! Apa bezanya wang yang dicipta oleh bank dan wang yang dicipta oleh Kerajaan? Kedua-duanya akan dibelanjakan ke dalam ekonomi yang sama di mana barang dan perkhidmatan menurun kerana Covid. Mengapa wang yang dicipta oleh Kerajaan ini bersifat inflasi dan wang yang dicipta oleh bank tidak bersifat inflasi?

Sudah tiba masanya kerajaan mengikuti trend fahaman dunia ekonomi sebenar. Pertama, bank-bank tidak memberi pinjaman dari deposit; bank mencipta wang baru apabila mereka memberi pinjaman kepada individu, syarikat atau kerajaan. Kedua, bank bukan institusi yang mengambil deposit dari orang ramai untuk diberi pinjam kepada orang lain; mereka adalah pencipta wang negara. Oleh itu, nasihat kami kepada Kerajaan untuk membantu ekonomi Covid negara, ialah ciptakan wang yang diperlu sekarang, sama ada melalui catatan perakaunan dengan Bank Negara Malaysia, atau memanfaatkan trend dunia semasa dan mencipta wang melalui Mata Wang Digital Bank Pusat(Central Bank Digital Currencies) Dalam masa yang sama, wujudkan dua atau tiga, Bank Awam milik negara sepenuhnya seperti China. China mempunyai empat Bank Awam milik negara sepenuhnya dengan pinjaman seratus peratus diberikan kepada ekonomi sebenar, sehingga menjadikan pertumbuhan ekonominya mendadak secara luar biasa. Bank-bank besar milik kerajaan Malaysia kini memberi pinjaman 65% kepada sektor peribadi dan hanya 35% kepada ekonomi sebenar sementara bank-bank awam di Malaysia seperti Bank Pembangunan tidak boleh mencipta wang!

Setakat bulan Jun 2020, RM1.27 trilion adalah jumlah wang yang dipinjamkan oleh bank bank di Malaysia kepada sektor peribadi. Cuba bayangkan di mana Malaysia akan berada sekarang jika RM1.27 trilion itu diberikan kepada ekonomi sebenar?! Adalah sangat sukar untuk kami bersimpati dengan bank-bank yang mempunyai kekayaan sejumlah RM356 bilion dana Pemegang Saham terkumpul, ditambah lagi dengan keuntungan tahunan sebanyak RM34 bilion tiap tiap tahun. Sebagai perbandingan, pada kadar pertukaran hari ini, RM356 bilion bersamaan dengan USD86.8 bilion; Manakala jumlah simpanan mata wang asing BNM hanya USD99.9 bilion. Kekayaan bank-bank hampir sama dengan nilai jumlah simpanan asing BNM! Oleh itu maaf, adalah amat sukar untuk kami bersimpati dengan mereka.

Kerajaan perlu pelajari semula beberapa perkara perkara asas ilmu ekonomi yang telah didapati tersimpang dari kebenaran. Adalah satu pendekatan yang baik jika Kerajaan merujuk kepada International Movement for Monetary Reform. Mengenai bank, adakah benar mereka yang mencipta wang? Ia adalah fakta yang telah lama diakui dan disahkan oleh Bank of England dan Bundesbank Eropah.

Sekretariat
Gerakan Keadilan Monetari Malaysia / Movement for Monetary Justice Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *