Amalan menyimpan wang bukanlah sesuatu yang mudah untuk diamalkan oleh sesiapa sahaja terutama dalam kalangan golongan muda yang baru bekerja itu. Golongan ini masih melihat amalan menyimpan wang sebagai ketinggalan zaman kerana konsep hidup mereka yang lebih mengutamakan hiburan dan keseronokan itu.

Namun, kajian mengatakan bahawa negara kita mempunyai kadar simpanan yang rendah berbanding negara lain di dunia ini. Laporan akhbar Sinar Harian pada 23 Mei 2021 yang mengatakan bahawa kajian Bank Negara Malaysia mendapati 75 peratus rakyat negara ini tidak mempunyai simpanan RM1000. Dalam laporan akhbar yang sama, kajian Literasi Kewangan Malaysia Ringgitplus (RMFLS) 2019 dengan kerjasama Visa menghuraikan sebanyak 43 peratus rakyat Malaysia membelanjakan semua pendapatan mereka.

Kita semua sedia maklum bahawa dalam menjalani kehidupan ini seseorang itu perlu mempunyai simpanan tiga kali ganda daripada gaji bulanannya. Sebagai contoh, gaji bulanan RM3000, sudah pasti individu terbabit perlu mempunyai simpanan sebanyak RM9000. Simpanan sebegini sering dikaitkan dengan simpanan kecemasan. Kemelut pandemik yang melanda telah menyebabkan sikap menyimpan semakin penting kerana pastinya ekonomi negara tidak akan berjalan lancar dalam masa terdekat ini. 

 

Ad

 

Sebenarnya, sikap menyimpan itu boleh dilakukan jika kita melakukannya secara kreatif tetapi mudah. Berikut merupakan antara beberapa kaedah untuk menyimpan wang dalam suasana pandemik ini:

  1. Amalkan proses membuat senarai pembelian. Maksudnya, individu hanya membuat pembelian berdasarkan satu senarai pembelian yang sudah difikirkan secara mendalam sebelum ini. Teknik ini akan menghalang pengguna daripada membeli barang yang tidak perlu terutamanya bahan kehendak itu.
  2. Amalkan membeli barang secara tunai. Satu kaedah yang efektif untuk menyimpan wang Ialah pengguna hanya membeli sesuatu barang secara tunai. Kaedah pembelian secara kredit atau hutang membawa satu impian palsu bahawa pengguna mempunyai kemampuan untuk membeli sesuatu barang walaupun barang itu masih lagi belum dimiliki oleh pengguna kerana hutang pembayaran belum selesai.
  3. Amalkan konsep hidup sederhana. Salah satu ajaran agama Islam yang boleh diketengahkan dalam kehidupan masyarakat moden ialah konsep kesederhanaan itu. Konsep ini menekankan pengguna hanya membeli atau memiliki sesuatu mengikut keperluan semasa. Maksudnya pengguna tidak perlu membeli tiga buah kereta jika pengguna atau isi rumah mereka hanya akan menggunakan dua buah kereta sahaja. Pemahaman konsep kesederhanaan juga akan membuatkan kita tidak bertindak melulu dengan membeli stok makanan untuk tempoh sebulan dan sebagainya.
  4. Amalkan sikap membeli emas. Kadar harga emas agak sukar untuk jatuh sejak berdekad lamanya. Harga galian ini agak stabil walaupun pernah mengalami turun naik tetapi secara amnya amalan menggunakan emas sebagai kaedah simpanan sudah menjadi pilihan sejak dahulu lagi. Pengguna yang bijak lebih baik membeli emas daripada menghabiskan puluhan ratus ribu untuk membeli kereta berjenama terkenal yang pasti akan susut dalam sekelip mata. Bukan sahaja emas tetapi perak dan barang galian lain turut boleh menjadi sandaran pengguna untuk mempelbagaikan amalan menyimpan wang mereka.
  5. Amalkan konsep buku hijau. Pengguna yang bijak terutama dalam suasana pandemik ini akan menggunakan konsep buku hijau yang menggalakkan penanaman tanaman di kawasan rumah untuk mengurangkan kos perbelanjaan harian. Harga tanaman terutama sayur yang tinggi menjadikan konsep menanam tanaman ini sebagai satu kaedah menyimpan yang efektif tetapi mudah. Amalan ini juga boleh menjadi alat merapatkan hubungan kejiranan apabila tanaman lebihan diberikan kepada jiran tetangga.

Sikap menyimpan merupakan satu amalan yang perlu dimiliki oleh semua individu kerana kita semua akan berhenti bekerja apabila sampai tempoh masanya. Ya, kemungkinan setiap individu mempunyai simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan pencen tertentu tetapi sikap menyimpan masih penting dalam kehidupan kita. Marilah kita menjadi menyimpan atau melabur secara bijak dengan merancang kewangan peribadi secara teliti dengan menggunakan kaedah-kaedah yang dinyatakan tadi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *