Bank Negara Malaysia (BNM) telah buat satu pusingan-U mengenai kemudahan moratorium pinjaman yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri sebelum ini sebagai salah satu langkah kerajaan meringankan beban rakyat menghadapi krisis pandemi Covid19 ketika ini. Untuk mengatasi penularan wabak ini, kerajaan telah membuat penutupan ekonomi dan sosial melalui Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah berkuatkuasa sejak 18 Mac 2020 yang lalu. Penutupan tersebut, tentu saja mempunyai implikasi sosial, mental dan ekonomi, di mana banyak perniagaan terpaksa ditutup dan ramai pula pekerja yang menganggur. Banyak pekerja-pekerja yang terpaksa menerima potongan gaji. Oleh yang demikian, kerajaan pun telah mengumumkan satu pakej rangsangan ekonomi bernilai RM250 bilion, yang salah satunya merangkumi moratorium 6 bulan bagi pinjaman-pinjaman daripada bank, institusi kewangan dan pembiayaan Islam yang berkadar tetap.
Enam bulan yang dimaksudkan adalah bulan-bulan April 2020 hingga September 2020. Peminjam tidak perlu membuat apa-apa bayaran dalam enam bulan ini dan hanya perlu mula membayar balek dari bulan Oktober 2020. Pada mulanya peminjam dimaklumkan bahawa moratorium ini adalah secara automatik, iaitu pilihan masuk adalah automatik, dan jumlah ansuran bulanan pula akan tetap sama apabila pembayaran disambung semula pada bulan Oktober. Ini bermaksud tiada bunga atau keuntungan yang akan dikenakan untuk tempoh moratorium tersebut.
Rakyat menyambut baik langkah ini dengan gembira kerana ianya memberi sedikit ruang untuk bernafas pada saat-saat yang sukar ini, tapi kini amatlah disesali kerana BNM dengan sokongan daripada Menteri Kewangan telah membuat pusingan-U terhadap moratorium tersebut pada 1 Mei 2020. Kini BNM bersama-sama dengan Persatuan Bank-Bank Malaysia mengatakan bahawa moratorium tersebut tidak lagi automatik, iaitu sekarang pelanggan harus memilih untuk ikut serta atau tidak, dan faedah akan tetap dikenakan bagi tempoh moratorium 6 bulan tersebut. Ini bermakna jumlah ansuran bulanan akan meningkat apabila pembayaran disambung semula.
Sekiranya pelanggan tidak mahu ansuran bulanan meningkat, maka pelanggan dimestikan supaya membayar semua ansuran yang terkumpul pada bulan Oktober, iaitu jumlah ansuran sebanyak 7 bulan. Bukankah ini tidak masuk akal? Apabila perniagaan-perniagaan banyak yang terjejas teruk dan ramai pula yang tiada atau kurang pendapatan, bagaimana anda harapkan mereka membayar ansuran 7 bulan sekali gus? Bukankah ini satu penekanan terhadap peminjam?
Dalam keadaan semasa ini di mana seluruh dunia menghadapi pandemi yang dahsyat adakah begini caranya sebuah Bank Pusat tampil untuk membantu meredakan keadaan peminjam? Bukankah keadaan kini satu bentuk force majeure dari segi undang-undang? Sebaliknya, pusingan-U ini semakin menekan rakyat yang sudahpun tersungkur. Satu tindakan paling memalukan oleh BNM.
Jelas ini membuktikan bahawa sistem perbankan tidak boleh diharapkan untuk tampil ke hadapan dan membantu negara dalam krisis. Sistem perbankan, yang berperanan menguruskan aliran wang dalam ekonomi, sangatlah penting bagi sesebuah ekonomi, dan yang demikian tidak boleh dibiarkan dalam tangan swasta untuk menjalankannya. Sistem perbankan swasta kini meletakkan dirinya seolah-olah beroperasi dalam dunia tanpa risiko. Ianya tidak pernah mahu berkongsi dalam apa-apa risiko yang dihadapi oleh ekonomi sejagat.
Tidak ramai termasuk mereka yang berkuasa, yang memahami atau menyedari bahawa bank perdagangan milik persendirian inilah yang sebenarnya mencipta sebahagian besar wang negara. Sistem perbankan mencipta kredit begitu sahaja out of thin air, dan mengenakan faedah atau keuntungan atas kredit-kredit tersebut. BNM hanya regulasi berapa banyak bank-bank ini dapat mencipta kredit atas angin, dengan memanipulasi nisbah rizab pecahan (fractional reserve ratio).
Memandangkan kedudukan istimewa bank yang sedemikian, para bankir sebenarnya menunjukkan sifat tamak dan keengganan mereka untuk berkongsi penderitaan rakyat dalam suasana wabak ini, dengan menarik balik moratorium tanpa faedah yang diberikan kepada rakyat. Malahan pula, dengan mengenakan faedah untuk tempoh moratorium ini, jumlah faedah atau keuntungan yang diperoleh oleh bank akan menjadi lebih besar, jika dibandingkan tanpa moratorium. Ianya seperti apabila seseorang tidak membayar baki kad kredit, maka caj faedah akan meningkat. Perkara yang sama berlaku di sini. Dengan faedah dan keuntungan yang lebih ini, maka perkataan “MORATORIUM” ini sudah tiada bermakna. Ini amatlah MEMALUKAN.
Adalah wajar dalam keadaan begini untuk kerajaan campur-tangan. Kerajaan mesti tampil ke hadapan dan membantu rakyat yang berada di ambang kehancuran. Sebenarnya, lockdown selama dua bulan boleh membawa banyak masalah sosio-ekonomi di sepanjang jalan. Kita akan lihat banyak kebankrapan dan penyitaan (foreclosures) dalam masa terdekat ini. Jadi masalah sekarang sebenarnya bukanlah berpunca daripada peminjam tetapi dari sistem itu sendiri. Sistem kewangan Negara telah terganggu oleh pandemi wabak Covid19, tetapi seluruh beban diletak atas bahu rakyat, sementara para bankir pula mendapat keuntungan dari wabak tersebut. Rakyat perlulah dilindungi dari kebankrapan dan penyitaan. Mereka merupakan nadi sesebuah negara. Mungkin sebuah badan khas boleh ditubuhkan oleh kerajaan untuk meneliti isu ini. Persatuan pengguna seperti Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan badan perundangan seperti Mahkamah Timbang Tara Malaysia [Malaysian Arbitral Tribunal Establishment (MATE)] boleh dilantik ke dalam badan tersebut untuk mengawasi pemulihan daripada masalah ini dengan lebih lancar.
Juga, untuk jangka panjang, kami sarankan supaya kerajaan mengambil kembali kuasa untuk menghasilkan wang yang kini dinikmati oleh bank-bank perdagangan swasta dan diberikan kepada sebuah Jawatankuasa Kewangan Negara yang bertanggungjawab kepada Parlimen. Wang yang dihasilkan sedemikian patutlah dimiliki oleh rakyat. Hanya kerajaan yang dipilih oleh rakyat yang dapat dipercayai untuk menjaga kesejahteraan rakyat. Kadang-kadang rakyat tertanya-tanya di manakah letaknya kesetiaan Menteri Kewangan kita yang muda ini. Kami sarankan Perdana Menteri, semua ahli-ahli politik, NGO dan rakyat supaya memberi perhatian kepada aspek ekonomi yang penting ini.
Prof Dr Dr. Ahamed Kameel Mydin Meera
Pengerusi, Gerakan Keadilan Kewangan Malaysia
https://mmj.my
3 Mei 2020